Ini adalah tajuk berita Utusan Online hari ini.
Rotan Anak Bakal Jadi Kesalahan Jenayah
SHAH ALAM 24 Jan. - Merotan anak bakal menjadi satu kesalahan jenayah jika rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya Julai depan, diluluskan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, penggubalan akta baharu itu kini dalam peringkat akhir untuk diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara.
Menurutnya, hukuman terhadap kesalahan merotan anak perlu dilaksanakan kerana negara telah menandatangani perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).
“Walaupun merotan anak merupakan sebahagian budaya masyarakat kita, tetapi kita perlu akur dengan perjanjian CRC yang memandang serius perkara tersebut.
“Kita juga mengambil iktibar rakyat negara kita (Azizul Rahim Awaluddin dan Shalwati Norshal) yang dihukum penjara kerana memukul anak di Sweden pada tahun lalu,” katanya selepas menghadiri program Santai Kopi O anjuran Komuniti Pertubuhan Wanita 1 Malaysia (Perwani) Shah Alam di Galeri Shah Alam, di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Munirah Abdullah Bajanuddin dan Pengerusi Penyelaras Perwani Shah Alam, Radziah Ahmad.
Rohani berkata, setakat ini, hanya terdapat dua hukuman dalam Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu Seksyen 31 dan Seksyen 33 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan kerana mendera atau mengabaikan anak.
Namun, jelas beliau, itu dianggap masih tidak mencukupi dan disebabkan itu dalam penggubalan akta baharu tersebut, hukuman tambahan iaitu menjalani khidmat komuniti di pusat perlindungan kanak-kanak kepada individu yang didapati bersalah mendera dan mengabaikan anak turut dimasukkan.
“Ini bertujuan memberi keinsafan kepada ibu bapa dan penjaga kanak-kanak terbabit agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga dan mendidik anak mereka,” katanya.
Jika kita faham sebenarnya, merotan itu sendiri diajar oleh Nabi saw. Dan sangat digalakkan setiap rumah untuk ada sebatang rotan serta menggantungkan rotan di tempat yang anak senang nampak. Ianya sebagai satu didikan disiplinkan anak.
Tetapi Nabi saw juga dah bagi guideline kepada kita macam mana cara yang betul untuk merotan. Bukannya suka hati saja nak pukul macam mana. Sebab itu banyak yang jadi kes dera sekarang ni. Merotan bukan satu budaya atau adat, ianya ajaran Nabi saw. Yang penting, setiap apa yang kita lakukan itu perlu ada ilmu.
No comments:
Post a Comment